petikan dari Langit Vanilla.
Satu Nafas Sial.
Kau pendiam, tulisan kau berbunyi simpati dan naif - kau berjaya
Orang pandang kau baik, orang pandang aku jahat, buta-buta
Tak perlu aku hebah perkara sebenar pada satu taman permainan, seperti anak kecil
Cukup aku dan Tuhan saja tahu, pergi jahanam dengan yang lain
Mana kau nak cari bekas kekasih seperti aku?
Yang tak membalas fitnah dan canang buruk?
Yang keluarga kau caci dan pada rakan kau tokok cerita namun
aku masih menegur sapa dan mendoa bahagia?
Aku rasa tolol, tiap kali kau bertanya khabar, aku layankan
Kemudian berakhir dengan permintaan kau yang bukan-bukan
Aku rasa bodoh, tetap mahu percaya niat persahabatan
Tapi kau celaka, atas redha aku kau ambil kesempatan
Melampau, ini bukan kali pertama
Tanpa silu kau ajak aku berdua-dua
Kalaupun hati aku belum dipunyai, tak bermaksud aku boleh jadi singgahan
Kalaupun aku peduli kau sebagai kawan, tak bermaksud aku boleh jadi lampisan
Jangan lupa, dulu aku tinggalkan kau kerana maruah aku kau letakkan bawah tapak kaki
Aku fikir kau sudah matang menilai wanita, tapi bertuah! Banyak lagi perlu kau pelajari
Sedih aku lihat kau, si hipokrit
Berambuslah, carilah kau seorang isteri
Aku bukan salah satu sembilan akal
Yang kau guna untuk penuhi satu nafas sial.